Tuesday, October 12, 2010

ORANG MUKMIN YANG KENTAL

Firman Allah SWT:
Wahai orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan)." (Ali Imran ayat 200)

Dalam ayat di atas Allah SWT menghendaki kita bersungguh-sungguh dan bersabar di dalam menegakkan kebenaran. Kita hendaklah memiliki kesabaran melebihi kesabaran musuh-musuh Allah SWT. Kesabaran orang mukmin mengatasi kesabaran orang-orang kafir. Orang mukmin tetap bersabar dalam apa jua suasana. Walaupun musuh-musuh Allah sabar dalam melakukan sesuatu, tetapi orang mukmin lebih sabar daripada mereka. Di samping bersabar orang mukmin juga lebih kuat daripada musuh-musuh mereka.

Orang mukmin yang lebih mampu

Orang mukmin bukan sahaja menentang musuh luaran bahkan mereka juga menentang musuh di dalam jiwa. Mereka lebih mampu dan  berkeupayaan untuk menentang musuh di dalam jiwa atau dada. Begitu juga dalam berhadapan dengan musuh di kalangan manusia sendiri. Orang mukmin sentiasa menyeru dan berjuang. Kalau musuh-musuh berjuang dengan sabar maka mereka pun berjuang dengan penuh kesabaran. Sekiranya musuh kuat maka mereka pun kuat. Musuh Allah itu berazam bersungguh-sungguh untuk hapuskan mereka, maka mereka juga berazam bersungguh-sungguh untuk hapuskan musuh-musuh Allah itu.

Akhirnya, hanya orang mukmin yang tetap lebih sabar daripada orang kafir atau musuh Allah SWT. Walaupun yang bathil itu sabar, kuat dan maju tetapi orang beriman lebih sabar dan lebih berkeupayaan untuk kekal di atas jalan jihad. Yang hak itu semestinya mempunyai kesabaran dan kemampuan yang lebih untuk terus di dalam perjuangannya.

Berjihad di mana-mana sahaja
 
Orang-orang mukmin tetap berjuang dan berjihad. Mereka tetap berjihad melawan kufur melalui dakwah, berjihad menyeru untuk kekalkan Islam dan berjihad mendedahkan kejahatan dalam zuruf al munasabah. Mereka sentiasa berterusan berjihad di mana-mana sahaja. Sekiranya daulah Islamiah sudah wujud, maka orang-orang mukmin dan tentera-tentera Islam akan berjihad mempertahankan Islam di setiap penjuru yang dimasuki oleh musuh. Di dalam keadaan yang tiada negara Islam sekarang ini maka perjuangan kita ialah berdakwah dan menegakkan kalimah Allah SWT di mana sahaja kita berada.
 
 
Jihad yang berterusan
 
Kumpulan Islam tak pernah lalai atau diam. Kumpulan ini tetap bergerak, lebih-lebih lagi dalam suasana sekarang yang mana tiada masa untuk berdiam diri. Masa sepenuhnya digunakan untuk berjihad melawan musuh. Kita hendaklah curahkan sepenuh masa untuk berjihad menegakkan Islam dan menentang musuh.

Musuh Allah tidak pernah membuat gencatan senjata dengan kita. Mereka menentang kita di mana sahaja. Mereka sentiasa menentang kebenaran di setiap saat dan ketika. Sejak mula penyeruan menegakkan kalimah Allah lahir di bumi maka sejak itulah musuh Allah tak pernah mengikat perjanjian sementara(berhudnah) dengan kita. Kita terus diserang di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja. Oleh itu kita pun perlu bersungguh-sungguh dan bertahan dengan penuh keupayaan untuk berjihad di jalan Allah hinggalah ke akhir hayat dan zaman.
 
Sistem Islam yang menguasai keseluruhannya
 
Dakwah Islam menyampaikan kepada manusia satu sistem hidup yang waki’i (yang benar-benar berlaku dalam realiti). Satu sistem yang menguasai jiwa manusia. Mungkin ada manusia yang berpada dengan Islam menguasai setakat benda-benda yang zahir sahaja. Sesungguhnya yang paling penting ialah sistem Islam dapat menguasai jiwa manusia terlebih dahulu. Selepas itu menguasai harta benda dan segala peraturan hidup manusia.
 
Kebatilan yang sentiasa memerangi
 
Sistem Islam adalah satu sistem yang baik, adil dan saksama tetapi kejahatan tidak senang melihat sistem ini, dan  kebatilan tidak suka kepada kebaikan, keadilan serta kejujuran. Begitu juga kezaliman tidak pernah menyerah kepada keadilan dan kemuliaan Islam. Justeru itu kejahatan, kebatilan dan kezaliman sentiasa memerangi dan memusuhi dakwah yang benar ini. Dakwah yang benar ini sentiasa ada musuhnya. Mereka yang mencari kepentingan maslahat diri sudah barang tentu akan menentang sistem Allah. Begitu juga akan menentang sistem Allah ini, orang yang menyeleweng kerana mereka tak mahu menjauhkan diri daripada sifat penyelewengan itu.
 
Oleh itu kita mestilah berjihad bersungguh-sungguh menentang mereka itu. Kita perlu sabar dan tahan. Kita perlu berusaha supaya umat Islam  tidak dikuasai oleh musuh-musuh Allah. Penyerangan musuh-musuh Allah bermula terhadap jiwa kita. Kita berjihad bersungguh-sungguh melepaskan diri daripada penguasaan musuh terhadap jiwa kita. Manakala kita bebas dari penguasaan musuh ini maka barulah kita boleh berjuang membebaskan manusia daripada musuh-musuh yang berupa manusia dan jin. Sekiranya daripada awal-awal lagi kita tidak dapat membebaskan jiwa daripada musuh-musuh Allah itu maka tak usahlah diharapkan kita akan dapat berjihad untuk melawan musuh-musuh lain yang bercorak manusia. Inilah lumrah dakwah Islam hari ini.
 
Prinsip asal dakwah
 
Prinsip dakwah ini bukanlah untuk memusuhi atau mencerobohi orang lain. Tetapi prinsipnya adalah untuk membangunkan satu sistem yang betul dan adil di kalangan manusia. Bukan prinsip asalnya untuk mengkafir atau menghina sesiapa. Dakwah ini ingin mengikuti apa yang dikehendaki Allah dan RasulNya. Allah-lah matlamat dakwah ini dan Rasul-lah ikutannya. Kita berdakwah dengan tujuan untuk menegakkan sistem Islam di kalangan manusia.
 
Namun begitu dakwah ini sentiasa dibenci oleh golongan yang mencari kepentingan. Sistem yang seperti ini sentiasa ada yang menentangnya dengan segala kekuatan. Kekuatan zahir yang pada musuh-musuh Islam digunakan sepenuhnya menentang Islam. Apabila kita dapat membebaskan jiwa daripada penguasaan musuh-musuh Allah itu maka InsyaAllah kita akan membina satu kumpulan yang mampu menghadapi tentangan siapa sahaja.
 
Kekuatan Islam melawan kekuatan musuh dalam bermacam-macam bentuk
 
Banyak kekuatan musuh dari berbagai arah yang menentang sistem dan dakwah yang benar ini. Dengan menggunakan kekuatan lisan dan di‘ayah sistem yang adil ini diganyang. Kebenaran dakwah Islam dipusing-pusingkan dan diselewengkan dengan bermacam-macam alat untuk memesongkan umat manusia. Oleh itu dakwah Islam mesti berusaha membebaskan diri daripada musuh-musuh Allah. Kita perlu melalui perjuangan ini sedaya upaya dengan semua peralatan dan persediaan yang ada pada kita seperti kekuatan jiwa, kekuatan penyusunan dan kekuatan pembentukan yang dijalankan berdasarkan Al Quran dan as Sunnah.
 
Telah berlalu masa tidur
 
Orang beriman sekali-kali tidak lalai atau tidur. Masa berehat-rehat atau tidur telah berlalu. Masa untuk bersenang-senang dengan hobi, berkelah-kelahan tanpa tujuan dan berfoya-foya telah berangkat pergi. Kalau kita berkelah atau melancung pun mestilah dengan tujuan takwin Wa’yul Islami. Melancong dan berkelah tanpa tujuan takwin wa’yul Islami atau ijad rakaiz Islamiah dianggap lalai dan dikhuatiri mengakibatkan terjatuh ke dalam perangkap musuh-musuh Allah. Ini kerana segala sesuatu yang kita usahakan sekiranya tidak membawa pada takwin wa’yul Islami dan pembentukan kefahaman serta kesedaran Islam maka usaha itu dianggap amal yang dhaif (lemah).
 
Bekalan yang berkekalan
 
Bekalan paling berkekalan yang kita perlukan seperti yang tersebut dalam ayat di atas ialah taqwa. Taqwa mestilah sentiasa bersama-sama dengan dakwah, dengan sistem Islam dan dengan jihad yang kita lakukan. Kalau tiada taqwa maka akan tersesatlah kita. Ini kerana taqwa sentiasa menjaga hati. Kalau tiada taqwa maka hati kita akan dikongkong kembali oleh musuh-musuh Allah SWT. Oleh itu kita perlu sentiasa menyediakan taqwa yang mengawasi kita daripada lalai.
 
Jiwa yang sudah ditawan
 
Kalau ada di kalangan manusia termasuklah ulamak-ulamak yang berdiam tanpa berjihad, berfoya-foya dan bersenang-senang, maka  ini menunjukkan jiwa mereka sudah ditawan oleh ghaflah atau lalai. Amal mereka seperti itu tidak dianggap amal yang berfaedah. Jiwa sudah kehilangan taqwa yang menjaga jiwa daripada lalai dan lemah. Jiwa sedang atau sudah diserang oleh musuh samada disedari atau tidak.
 
Peranan taqwa
 
Sistem Allah sentiasa berjalan bersama dengan jiwa yang bertaqwa. Taqwa menjaga kita supaya tidak menceroboh ke lain. Taqwa ialah satu kuasa pengawasan untuk mengekalkan sistem Allah. Takwa mengawasi perjalanan kita sebagai seorang muslim. Taqwa juga mengawasi perlaksanaan sistem Allah SWT.

Saidina Umar r.a pernah bertanya kepada Ubai bin Kaab tentang taqwa, “Apakah yang dimaksudkan tentang taqwa ya Ubai ?”. Kata Ubai “ tidakkah engkau pernah melalui satu jalan yang banyak duri?”. Jawab Umar, “ Ya, saya pernah”. Kata Ubai, “apakah yang engkau buat ?”. Kata Umar,  “saya angkat kain dan saya berhati-hati melangkah”. Kata Ubai, “itulah taqwa.”
 
Taqwa itu satu pengawasan. Untuk sampai ke peringkat taqwa seperti ini, maka seseorang itu perlulah melalui jalan iman dan memahami benar-benar akan Islam terutama perkara-perkara yang fardhu dan yang wajib difahami. Kalau tidak melalui jalan ini maka seseorang tidak boleh menjadi seorang yang bertaqwa pada Allah SWT dalam ertikata yang sebenarnya. Seseorang itu tidak tahu hendak mengawasi diri, mereka akan terpijak duri  dan tidak tahu mengikuti nilai Allah SWT. Justeru itu seseorang mestilah terlebih duhulu beriman pada Allah dan Islam sepenuhnya.
 
Jamaah yang menjaga taqwa
 
Jamaah Islamiah wajib memahami hal ini.  Kalau tidak, akan mudahlah terjatuh ke dalam ranjau-ranjau dan duri-duri dalam perjalanannya. Sifat dakwah ini ditentukan Allah SWT. Kita tidak boleh menciptanya sendiri. Oleh itu kita hendaklah menjadi orang yang bertaqwa pada setiap kerja kita. Letakkanlah duhulu neraca taqwa kepada Allah SWT bagi setiap penilaian.
 
Taqwa itu meliputi iman dan  Islam. Taqwa itulah yang menentukan amalan-amalan kita betul-betul di dasarkan pada keimanan dan Islam. Taqwalah yang mengawas peribadi, kumpulan, usrah dan daulah Islamiah. Tidak akan lahir amalan Islam yang sebenarnya tanpa taqwa. Oleh itu taqwa mestilah sentiasa bersama-sama dengan sistem Allah. Kalau sistem Islam tidak diawasi oleh taqwa maka ia akan lemah, akan lalai, akan dicerobohi dan akan terdedah kepada penyelewengan-penyelewengan. Biarlah taqwa itu berasaskan pada iman dan Islam. Kerana itulah kita perlu meningkatkan keimanan dan kefahaman terhadap Islam.
 
Tidak dirasai perlunya taqwa melainkan.....
 
Tidak dirasai perlunya kepada pengawasan taqwa ini kecuali orang yang telah banyak berjihad di jalan  Allah SWT dan yang banyak menderita dalam berjihad menegakkan kalimah Allah SWT. Mereka ini merasakan amat perlu pada pengawasan ini. Dalam perjalanan nanti mereka akan berjumpa dengan daya penarik yang banyak seperti pangkat, kebesaran, wang, kemewahan dan kedudukan. Tanpa taqwa mereka akan tercicir, tidak tahan dan tanpa disedari akan diperalatkan oleh sistem yang lain. Sedangkan hal ini bersalahan dengan nilai taqwa itu sendiri.
 
Orang yang tidak biasa berjalan di atas jalan dakwah ini tidak akan berhajat kepada taqwa. Orang yang tidak pernah menderita dalam menegakkan Islam tidak akan berhajat kepada taqwa. Oleh itu daripada awal-awal lagi kita kena ada penjaga ini (taqwa). Apabila seseorang itu baligh atau masuk Islam sahaja maka pengawasan ini kena bersama-samanya. Kalau tidak mungkin dia akan mensia-siakan hidupnya. Dia akan jatuh ke bawah penguasaan musuh-musuh Allah SWT.

No comments:

Post a Comment