Sunday, October 17, 2010

BERFIKIR TUNTUTAN ALLAH

Pada hakikatnya kita sentiasa berfikir. Setiap hari sewaktu bekerja kita sentiasa berfikir mengenai pekerjaan kita. Kita berfikir tentang cara untuk meningkatkan prestasi kerja kita. Kita berfikir tentang cara untuk mengatasi masalah yang dihadapi. Selepas itu, kita berfikir pula tentang cara untuk mengekalkan prestasi yang baik. Akhirnya kita akan berfikir pula tentang cara untuk menghasilkan prestasi yang terbaik. Begitulah keadaan akal kita yang tidak pernah berhenti daripada berfikir.

Bagaimanapun, kita akan berfikir dengan lebih serius apabila kita berhadapan dengan masalah, misalnya ketika kita ditimpa musibah, ketika kita kesempitan wang, ketika kita sakit atau ketika kita menghadapi kegagalan. Kita berfikir untuk mencari jalan penyelesaian. Lebih berat masalah yang kita hadapi, lebih besar juga usaha berfikir yang kita lakukan.

Berfikir Kerana Allah?
 
Bagaimanakah pula dengan tanggung-jawab kita terhadap Allah SWT dalam hal berfikir ini? Apakah yang dituntut oleh Allah SWT dengan keupayaan berfikir yang ada pada kita? Untuk apakah Allah memberikan kita keupayaan berfikir? Apakah keutamaan orang yang berfikir menurut kehendak Allah? Apakah balasan dan kesudahan orang yang tidak mahu berfikir seperti yang Allah tuntut?
 
Sebenarnya Allah SWT memerintahkan kita untuk berfikir. Sebagai contoh, perhatikan firman Allah SWT yang bermaksud:
 
“Orang yang mengingati Allah ketika berdiri dan duduk ketika berbaring dan mereka memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (mereka mengatakan): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, peliharalah kami daripada seksa neraka.

“Wahai Tuhan kami, siapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka, sesungguhnya Engkau hinakan dia, dan orang yang melanggar aturan itu tidak mempunyai penolong.
 
“Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami mendengar orang yang memanggil kepada keimanan: Berimanlah kepada Tuhanmu! Lalu kami beriman. Wahai Tuhan kami, sebab itu ampunilah dosa kami dan tutuplah kesalahan kami dan wafatkanlah kami bersama orang yang baik-baik.

“Wahai Tuhan kami, berikanlah kami apa yang telah Engkau janjikan kepada kami dengan perantaraan Rasul-rasul Engkau dan janganlah Engkau hinakan kami di akhirat. Sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji.
 
“Maka Tuhan memperkenankan permohonan mereka dan mengatakan: Sesungguhnya Aku tidak akan membuang percuma saja pekerjaan orang yang beramal antara kamu, baik lelaki atau perempuan, satu dengan yang lain adalah sama. Oleh itu, orang yang berpindah negeri, diusir daripada rumahnya, diseksa kerana mengikut jalan-Ku dan berperang atau terbunuh, sesungguhnya akan Kututup kesalahan mereka dan akan Aku masukkan ke dalam syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya. Itulah pahala daripada Allah dan di sisi Allah pahala yang sebaik-baiknya.”
(Ali ‘Imran: 191-195)
 
Pada suatu subuh, Saidina Bilal melihat Rasulullah SAW menangis teresak-esak. Apabila ditanya oleh Bilal mengapakah baginda menangis, Rasulullah SAW menjawab bahawa baginda baru saja menerima wahyu (ayat di atas). Apakah kandungan ayat tersebut yang menyebabkan Rasulullah SAW menangis?
 
Dalam ayat pertama, Allah menerangkan tentang sifat orang yang mengingati-Nya pada waktu berdiri, duduk dan berbaring. Menurut Abdullah Yusuf Ali dalam tafsirannya, semua keadaan itu (berdiri, duduk dan berbaring) adalah simbolik untuk semua keadaan termasuk peribadi, kemasyarakatan, ekonomi dan lain-lain. Maknanya dalam seluruh hidup kita sama ada belajar, bekerja, bergaul, berumahtangga malah apa saja, adalah dalam keadaan sentiasa mengingati Allah.
 
Apakah yang dimaksudkan dengan sentiasa mengingati Allah? Adakah ini bermakna kita menyebut perkataan ‘Allah’, ‘Allah’, ‘Allah’, pada setiap masa? Sebenarnya apa yang dituntut oleh Allah ialah supaya kita menentukan setiap perkara yang kita lakukan mestilah:
  • untuk mencari matlamat Allah;
  • dilaksanakan mengikut syariat Allah; dan
  • meletakkan pengharapan kepada Allah, bukan kepada usaha kita semata-mata.
Ini bermakna kita perlu sentiasa memikirkan adakah kehidupan kita seluruhnya berada dalam keadaan seperti di atas. Adakah kita telah menjadikan seluruh hidup kita sebagai perhambaan kepada Allah dalam pengertian di atas?
 
Dalam ayat seterusnya Allah menyebutkan sifat mereka yang berfikir mengenai keajaiban kejadian langit dan bumi. Mereka berfikir sehingga dapat membuat kesimpulan bahawa semuanya dijadikan oleh Allah bukan dengan sia-sia. Kemudian mereka berdoa supaya ‘selamatkanlah’ diri mereka daripada api neraka. Abdullah Yusuf Ali menafsirkan api adalah simbolik kepada hukuman yang pedih. Apa yang penting di sini ialah hubungan antara berfikir dengan selamat daripada api neraka.
 
Marilah kita bertanya diri sendiri adakah kita telah berfikir dengan bersungguh-sungguh sehingga kita merasai akan kehebatan ciptaan Allah SWT? Banyak perkara yang boleh kita fikirkan, misalnya penciptaan manusia sendiri dan penciptaan unsur-unsur utama alam iaitu udara, air, tumbuhan dan haiwan. Kehebatan ciptaan Allah sepatutnya menjadikan hati kita tunduk pada kebesaran Allah. Apabila kita tunduk pada kebesaran Allah, kita akan mematuhi segala perintah dan menjauhi segala larangan-Nya.
 
Kita sedar bahawa kejayaan yang sebenar ialah apabila kita selamat daripada api neraka. Allah menyebutkan dalam ayat di atas, sesiapa yang dimasukkan ke dalam api neraka sebenarnya mendapat kehinaan. Cuba kita fikirkan tentang kegagalan yang dialami di dunia ini. Sekiranya kita gagal peperiksaan pun kita rasa malu dan terhina. Begitu juga dengan orang yang gagal dalam temuduga pekerjaan, berasa malu dan hina. Apa lagi orang yang didapati bersalah dan dihukum masuk penjara, mereka akan berasa kehinaan yang lebih besar lagi. Jadi salah satu ciri azab akhirat ialah kehinaan. Kita terhina di hadapan seluruh manusia, di hadapan Allah dan para malaikat-Nya. Bukankah ini merupakan sumber motivasi yang terbesar untuk manusia mengabdikan diri kepada Allah SWT dalam pengertian yang sebenarnya? Dalam ayat di atas juga disebutkan, mereka berdoa sekali lagi supaya Allah tidak menghinakan mereka di akhirat. Ini menunjuk-kan betapa beratnya seksaan menanggung kehinaan di akhirat nanti. Lebih berat daripada segala bentuk kehinaan di dunia.
 
Akhirnya Allah memperkenankan permohonan mereka dan memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya. Sekali lagi, Abdullah Yusuf Ali mengatakan bahawa sungai-sungai yang mengalir di bawahnya ialah simbol kebahagiaan dan kemewahan yang tidak terhingga yang sesuai dengan keadaan masyarakat Arab pada masa itu (masa wahyu diturunkan). Ini kerana sungai adalah satu nikmat yang tidak terhingga bagi masyarakat yang hidup di tengah padang pasir yang kering kontang. Oleh itu, sudah tentu kita boleh membayangkan bentuk kemewahan dan kenikmatan yang tidak terhingga itu. Malah Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa nikmat di syurga  Allah adalah sesuatu yang tidak pernah dipandang, tidak pernah didengar dan tidak pernah terlintas di hati manusia. Itulah nikmat dan kejayaan sebenar.

Apakah yang perlu kita fikirkan?
 
Sebenarnya perkara yang disebutkan di dalam ayat yang dipetik di atas itulah perkara pertama yang perlu kita fikirkan. Selain itu, ada perkara lain lagi yang perlu kita fikirkan. Dalam hal ini Rasulullah SAW pernah menceritakan mengikut apa yang tersebut di dalam kitab Nabi Ibrahim AS yang bermaksud: “Sewajarnya setiap yang berakal, selagi akal fikirannya tidak hilang, membahagikan masanya kepada empat waktu iaitu:
  • waktu untuk dia bermunajat (berzikir dan berdoa) kepada Allah;
  • waktu untuk dia bermuhasabah tentang dirinya;
  • waktu untuk dia berfikir tentang ciptaan-ciptaan Allah; dan
  • waktu untuk dia menumpukan kepada keperluannya seperti mencari makanan dan minuman.”
Adakah kita telah memikirkan tentang empat perkara di atas ataupun kita menumpukan pemikiran kepada aspek tertentu sahaja? Dunia di sekeliling kita hanya memikirkan tentang perkara yang keempat. Sekiranya kita tidak berhati-hati, suasana yang ada di sekeliling kita boleh mempengaruhi kita sama ada kita sedar atau tidak. Mungkin secara tidak disedari kita hanya memikirkan persoalan yang keempat sahaja. Ini bermakna kita merasai perkara pertama, kedua dan ketiga sebagai tidak penting. Na’uzubillah!
 
Setelah beriman dan merasai hubungan kita dengan janji-janji Allah, kita dituntut pula untuk memikirkan persoalan jihad iaitu mencari jalan yang terbaik bagi menyelamatkan umat Islam daripada terus berada di bawah cengkaman musuh-musuh Islam. Ini adalah tuntutan yang sudah sewajarnya dirasai oleh mereka yang benar-benar berfikir tentang kewujudan, keagungan dan kekuasaan Allah.
 
Sebagai kesimpulan, berfikir merupakan salah satu tugas utama setiap mukmin yang benar-benar mahu beriman kepada Allah SWT. Hanya dengan berfikir tentang penciptaan langit, bumi dan makhluk-makhluk Allah SWT, kita akan merasai kehebatan-Nya. Dengan rasa hati yang mengagungkan Allah SWT sahaja kita akan merasai hidup ini merupakan ujian daripada Allah SWT. Akhirnya proses berfikir akan membawa hati kita merasai bahawa balasan Allah SWT sedang menanti kita di akhirat. Bagi mukmin, doa mereka ialah semoga Allah SWT menyelamatkan diri mereka daripada api neraka jahanam yang sangat pedih. Inilah yang sepatutnya berlaku apabila kita berfikir.

No comments:

Post a Comment