Tugas para Rasul ialah menyeru, menyedarkan, mendidik dan membentuk manusia agar beriman kepada Allah S.W.T. atau dengan kata lain, mengajak dan membangunkan keperibadian manusia agar tunduk mengabdikan diri sepenuhnya hanya kepada Allah S.W.T. semata-mata. Tugas atau peranan ini dilaksanakan oleh para rasul terhadap umat masing-masing. Muhammad Rasulullah S.A.W. pula melaksanakannya terhadap seluruh umat manusia. Firman Allah S.W.T. dalam surah An-Nahl ayat 36;
وَلَقَدۡ بَعَثۡنَا فِى ڪُلِّ أُمَّةٍ۬ رَّسُولاً أَنِ ٱعۡبُدُواْ ٱللَّهَ وَٱجۡتَنِبُواْ ٱلطَّـٰغُوتَۖ
“Dan Kami mengutuskan kepada setiap ummat itu Rasul (yang menyeru)
hendaklah kamu menyembah Allah dan menjauhi taghut.
hendaklah kamu menyembah Allah dan menjauhi taghut.
Al-Quran telah mengarahkan Rasulullah S.A.W. supaya mendidik hati, fikiran, perasaan, tingkahlaku dan akhlak manusia agar mencapai ke paras yang lebih tinggi dan mulia sesuai dengan penciptaannya. Seterusnya baginda merealisasikan misi dakwah, membentuk ummah dan membina daulah.
Itulah hakikat Rasul diutuskan. Itulah contoh yang terbesar.
Hasilnya, dengan kurniaan Allah S.W.T. jua, Rasulullah S.A.W. telah berjaya mengubah corak hidup manusia yang serba pincang kepada corak hidup yang sempurna, aman, damai, bahagia dan bercahaya di bawah sistem yang ditanzilkan Allah S.W.T. Akhlak dan keperibadian Rasulullah S.A.W. memainkan peranan utama dalam perlaksanaan tanggungjawabnya. Firman Allah S.W.T.:
لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِى رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٌ۬ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأَخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرً۬ا
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) dihari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). ”.(Al Ahzab : 21)
Peranan kita masakini.
Dalam rangka mencontohi Rasulullah S.A.W., peranan kita kini ialah melaksanakan da’wah. Kita menyeru manusia yang alpa kepada Allah S.W.T. agar melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Kemudian kita perlu berusaha mendidik dan membentuk ummah sebagaimana yng telah dilaksanakan oleh Rasulullah S.A.W dan para sahabatnya. Setiap individu muslim wajib melaksanakan tugas ini mengikut kemampuan dan keahlian masing-masing. Al Qur’an sangat menuntut kita agar melaksanakan kewajipan tersebut melalui Firman Allah S.W.T.:
وَٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَٱلۡمُؤۡمِنَـٰتُ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلِيَآءُ بَعۡضٍ۬ۚ يَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَيُطِيعُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُ ۥۤۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ سَيَرۡحَمُهُمُ ٱللَّهُۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ۬
"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagiannya menjadi penolong bagi sebahagian yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan solat, memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (At-Taubah: 71)
Kewajipan ini tidak akan gugur ke atas setiap muslim selagi mana sistem Ilahi, peraturan atau deen Allah tidak terlaksana di bumi. Selagi mana kemungkaran menodai syari’at Allah S.W.T. sewenang-wenangnya dan selagi mana bumi Allah S.W.T. tidak dapat dimakmurkan dengan amalan-amalan soleh maka selagi itulah kewajipan ini mesti dilaksanakan.
Umat Islam Kehilangan Contoh Yang Agong Dari Rasulullah S.A.W.
Umat Islam kini diselubungi jahiliyyah sebagaimana berlaku di zaman permulaan da’wah Islamiyyah dahulu. Jahiliyyah sudah menyerap ke dalam hati nurani, fikiran, perasaan, tindakan dan akhlak orang-orang Islam sendiri. Ini menyebabkan fenomena kini menggambarkan seolah-olah orang-orang Islam telah kembali ke zaman Jahiliyyah.
Mujahid terkenal zaman ini, Ustaz Sa’id Hawwa, dalam bukunya Jundullah Thaqafatan Wa Akhlaqan, menerangkan tentang fenomena (irtidad) kembali ke zaman jahiliyyah telah berlaku di kalangan orang-orang Islam sendiri. Asy-Syahid Sayyid Qutb pula menegaskan bahawa di zaman ini terdapat kalangan mereka yang mengakui keagungan Allah S.W.T., sekaligus mengakui pula kekuasaan dan kemampuan manusia seolah-olah Allah S.W.T. dan manusia bersaing hebat dan berlumba-lumba untuk mencapai kebebasan hidup di alam yang sementara ini.
Inilah diantara ciri-ciri jahiliyyah yang telah meresapi jiwa, perasaan, pemikiran dan perilaku kebanyakan umat Islam pad hari ini. Hal ini akan berlanjutan kiranya kita tidak berusaha untuk mengembalikan hakikat yang hilang daripada kita dan orang-orang Islam. Antara kehilangan yang besar pada hari ini ialah kehilangan qudwah, role model atau contoh tauladan yang sepatutnya menjadi ikutan umat masakini. Qudwah yang sepatutnya kita ambil ialah apa yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W. disepanjang sejarah kehidupannya bersama-sama para sahabat yang telah jelas mendapat pengiktirafan dari Allah S.W.T. sebagai suatu contoh yang agung, lengkap dan merangkumi semua ruang lingkup kehidupan. Rasulullah S.A.W. diutuskan sebagai seorang rasul yang membawa rahmat ke seluruh alam manakala mereka(para sahabat) yang mendapat didikannya telah lahir sebagai umat pilihan yang disebut di dalam firman Allah sebagai Khaira Ummah(umat terbaik yang lahir dikalangan umat manusia). Rasulullah S.A.W. mendidik mereka dengan Al-Quran, satu-satunya sumber hidayah atau Sibgahtullah(celupan Allah).
Di kalangan umat Islam terdapat mereka yang menyedari akan hakikat jahiliyyah yang menguasai dunia. Justeru itu, samada di dunia Islam atau di dunia bukan Islam, telah timbul berbagai-bagai gerakan Islam. Kebangkitan ini lahir daripada kesedaran bahawa umat Islam mesti berperanan dalam kepimpinan untuk menegakkan penyelesaian yang adil bagi menghadapi permasalahan atau krisis hidup manusia yang kian meruncing akibat ketidaksempurnaan sistem ciptaan manusia.
Kebangkitan gerakan-gerakan Islam itu amat membanggakan. Namun apa yang menjadi tanda tanya ialah tentang uslub yang digunakan. Adakah gerakan-gerakan itu berpandukan kepada uslub yang telah dilalui Rasulullah S.A.W. dan sahabat-sahabat baginda r.a.? Uslub ini telah membawa Rasulullah S.A.W. dan sahabat-sahabat baginda r.a. mencapai kejayaan yang paling besar di sisi Allah S.W.T.
Penekanan secara juz’ie memang cepat sekali berkembang kerana amal juz’ie adalah amal yang senang dan mudah dilaksanakan, tetapi cepat pula gagal apabila menempuh suasana yang menekan. ‘Amal Kulli, ‘Amal Islam yang Kamil, ‘Amal yang Mutawazin dan menyeluruh berlandaskan contoh kepimpinan Rasulullah S.A.W. merupakan ‘amal yang agak lambat berkembang dan sukar mendapat sambutan yang besar. Ini kerana ia melalui proses yang terperinci berserta matlamat yang besar untuk mengubah secara keseluruhan, bukan untuk menampung mana-mana yang bocor dan berlubang.
Natijah Kepimpinan Dan Contoh Rasulullah S.A.W.
Kepimpinan dan contoh yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. telah memperlihatkan ‘Amal Kulli dan Mutawazin. Amal yang merangkumi semua aspek kehidupan baik dari sudut fikri mahu pun dari sudut siasi. Natijahnya, lahirlah satu ummah yang terpimpin dengan roh al-Quran. Al Qur’an sentiasa mengalir di dalam jiwa-jiwa mereka dan memimpin hati-hati mereka hingga tunduk dan patuh kepada Allah S.W.T. dan rasulNya sahaja. Natijahnya juga, mereka tidak memilih nilai-nilai yang lain selain daripada nilai yang telah diajar oleh Rasulullah S.A.W.. Mereka telah mempersaksikan keperibadian yang agung dan tinggi hingga keperibadian itu tidak terjejas apabila bertembung dengan berbagai-bagai suasana. Mereka tetap beradab dengan Allah S.W.T. dan Rasul-Nya samada sewaktu senang atau susah, aman atau damai, bahkan dalam suasana perang dan genting. Contohnya dalam satu peperangan Allah S.W.T. menceritakan keadaan mereka menerusi surah Ali Imran ayat 147;
وَمَا كَانَ قَوۡلَهُمۡ إِلَّآ أَن قَالُواْ رَبَّنَا ٱغۡفِرۡ لَنَا ذُنُوبَنَا وَإِسۡرَافَنَا فِىٓ أَمۡرِنَا وَثَبِّتۡ أَقۡدَامَنَا وَٱنصُرۡنَا عَلَى ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡڪَـٰفِرِينَ
"Dan tidaklah ada yang mereka ucapkan (semasa berjuang), selain daripada berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa-dosa kami dan perbuatan kami yang melampau-lampau dalam urusan kami dan teguhkanlah tapak pendirian kami (dalam perjuangan) dan tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir".
Betapa tinggi adab mereka dengan Allah S.W.T.. Mereka tidak meminta sedikit pun nikmat kesenangan pahala dan balasan dunia. Mereka hanya meminta supaya Allah S.W.T. mengampunkan dosa-dosa mereka dan menetapkan pendirian mereka serta memberi pertolongan ke atas meraka terhadap orang-orang kafir. Tindakan mereka itu menterjemahkan keyakinan mereka kepada pimpinan Rasulullah S.A.W. Mereka mengambil Rasul sebagai contoh untuk membentuk keperibadian mereka sendiri.
Apabila kita beriman kepada Rasulullah S.A.W, wajiblah kita tunduk dan patuh kepada apa yang dibawanya dan menjauhi apa yang dilarangnya tanpa merasa tertekan, malu, segan, berat atau susah. Juga tanpa mempertimbangkan samada sesuai atau pun tidak sesuai.
Jika kita ragu, membantah dan melaksanakan sebahagian sahaja suruhan Rasulullah S.A.W., maka keadaan ini sudah tentu berlawanan dengan keimanan, ikrar, janji dan bai’ah kita kepadanya. Sesungguhnya keimanan kepada Rasulullah S.A.W. menuntut kita taat, patuh dan mencontohi contoh teladannya yang mulia. Firman Allah S.W.T.:
وَأَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَ لَعَلَّڪُمۡ تُرۡحَمُونَ
“Dan taatilah Allah dan Rasul agar kamu diberi rahmat.”(Ali ‘Imran: 132)
قُلۡ إِن كُنتُمۡ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِى يُحۡبِبۡكُمُ ٱللَّهُ وَيَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌ۬ رَّحِيمٌ۬
“Katakanlah jika kamu benar-benar mencintai Allah maka ikutilah aku nescaya Allah mengasihi kamu dan mengampun dosa-dosa kamu, Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Ali ‘Imran: 31)
“Katakanlah jika kamu benar-benar mencintai Allah maka ikutilah aku nescaya Allah mengasihi kamu dan mengampun dosa-dosa kamu, Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Ali ‘Imran: 31)
Jalan untuk mencintai Allah S.W.T. ialah mengikuti Rasulullah S.A.W. dengan penuh rela dan patuh seikhlas hati. Juga mencintai Rasulullah S.A.W. lebih daripada diri sendiri, anak-anak, harta benda dan manusia seluruhnya. Kecintaan kepada Rasulullah S.A.W. mestilah diterjemahkan dalam setiap gerak geri dan tingkah laku yang mengikuti apa yang disukai Rasulullah SAW dan menjauhi apa yang tidak disukainya.
Generasi Islam Pertama Juga Contoh Kita.
Generasi Islam pertama juga merupakan contoh kita. Mereka telah dididik dan dipimpin oleh baginda melalui proses tarbiyyah yang tersusun rapi. Pada diri mereka telah lahir contoh yang sempurna dalam segala bidang kehidupan, baik dari segi fikri mahu pun dari segi siasi. Contoh yang syumul jelas nampak dalam hidup mereka. Mereka yakin kepada pimpinan Rasulullah S.A.W dan bercontohkan keperibadian baginda sepenuhnya. Mereka hidup dalam suasana aman, damai, berbahagia dan mendapat ‘nur’ yang terpancar dari sinar al-Quran yang menjadi dustur(peraturan dan carahidup) mereka.
Pendekatan mereka kepada al-Qur’an bukanlah semata-mata untuk mempelajari, membaca dan menggali rahsia-rahsianya tanpa menyedari tuntutan sebenar iaitu menghayati dan melaksanakannya dalam kehidupan dan memikul amanah Allah S.W.T. yang besar di mukabumi ini. Berpandukan Al-Qur’an, Rasulullah S.A.W. membimbing dan melengkapkan hidup mereka dengan akhlak yang mulia. Seluruh pemikiran dan tindakan mereka dibimbing supaya tidak melewati batas-batas yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T.
Penutup Pendekatan mereka kepada al-Qur’an bukanlah semata-mata untuk mempelajari, membaca dan menggali rahsia-rahsianya tanpa menyedari tuntutan sebenar iaitu menghayati dan melaksanakannya dalam kehidupan dan memikul amanah Allah S.W.T. yang besar di mukabumi ini. Berpandukan Al-Qur’an, Rasulullah S.A.W. membimbing dan melengkapkan hidup mereka dengan akhlak yang mulia. Seluruh pemikiran dan tindakan mereka dibimbing supaya tidak melewati batas-batas yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T.
Tuntutan kefahaman terhadap kerasulan Nabi Muhammad S.A.W. dan keimanan kepadanya ialah dengan mencontohi dan mengikuti ajaran dan kepemimpinannya. Seandainya umat Islam tidak kembali kepada hakikat ini, umat Islam akan terus menjadi seperti buih di permukaan air. Umat Islam tidak akan mampu menjadi arus yang kuat untuk meruntuh dan menumpaskan jahiliyyah.
No comments:
Post a Comment