Friday, October 15, 2010

IBADAH HAJI - LATIHAN UNTUK KEMBALI KEPADA ALLAH SWT

“HAMBA-MU datang menyahut panggilan-Mu, ya Allah Tuhan yang tidak ada sekutu bagi-Mu, sesungguhnya segala pujian, nikmat dan pemerintahan adalah kepunyaan-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu.”
 
Musim haji tiba lagi. Talbiah akan terus bergema setiap kali umat Islam dari seluruh dunia mengunjungi Makkah untuk menunaikan fardu haji, rukun Islam kelima. Makkah sebenarnya adalah nadi masyarakat dunia Islam kerana di sana berdiri megah kiblat umat Islam, iaitu Kaabah.
 
Oleh itu tidaklah menghairankan apabila setiap tahun lebih 2 juta umat Islam dari seluruh dunia, termasuk kira-kira 20,000 umat Islam dari Malaysia, berkumpul di kota suci ini. Allah berfirman yang bermaksud:

“Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji (dengan) mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji) maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajat suatu pun) dari sekalian makhluk.” (Ali-Imran: 97)

MAKSUD HAJI

Mengikut syarak, ibadat haji ialah mengunjungi Kaabah dalam bulan haji kerana mengerjakan tawaf, sa’i dan wukuf di Padang Arafah dengan mengikut syarat dan menunaikan segala rukun dan wajibnya. Semua jemaah berharap untuk mendapatkan haji mabrur. Bagi mendapatkannya, pelbagai aspek perlu dihayati, terutama rukun dan wajib haji. Kebanyakan ulama' berpendapat ketika melaksanakan ibadat haji, sebenarnya kita meninggalkan pekerjaan, keluarga dan jiran tetangga, menuju rumah Allah, iaitu Kaabah.
 
HIKMAT IBADAT HAJI
 
Haji adalah latihan untuk kembali kepada Allah. Ia juga adalah latihan kematian kerana kita meninggalkan tanah air, pekerjaan dan keluarga semata-mata dengan niat ingin menemui Allah. Ibnu Arabi dalam karyanya Al-Futuhat al-Makkiyah(Keterbukaan di Makkah) ada menyebut: “Kita akan kembali kepada Allah dengan cara berbeza. Ada yang kembali dengan cara terpaksa, tetapi setuju atau tidak, kita semua akan kembali kepada Allah yang kita sebut sebagai mati. Ada pula cara yang lain, iaitu kita disuruh kembali kepada Allah dengan cara yang tidak terpaksa iaitu dengan sukarela. Kembali seperti inilah yang dilakukan oleh jemaah haji. Dengan kata lain, melaksanakan ibadat haji bermakna kita kembali dengan sukarela untuk memenuhi panggilan Allah.”
 
Ringkasnya, haji adalah cara berangkat menuju Tuhan dengan sukarela. Ibadat haji juga berkait rapat dengan ibadat korban yang dilambangkan oleh peristiwa Nabi Ibrahim dan puteranya, Nabi Ismail. Peristiwa itu memberi pelbagai pengajaran dan antaranya ialah kesanggupan kita untuk membunuh sifat kebinatangan yang ada pada diri iaitu tamak, rakus, mementingkan diri dan tidak mengenal hukum. Sifat-sifat itu harus dibunuh dan dijadikan korban demi mencapai korban (kedekatan) diri kepada Allah.  

BEBERAPA AMALAN WAJIB KETIKA MENUNAIKAN HAJI







WUKUF DI ARAFAH 
Di Arafah jemaah haji akan melakukan wukuf iaitu berada di bumi Arafah walau satu saat sekalipun bermula gelincir matahari ke-9 Zulhijjah hingga terbit fajar padi pada hari yang ke-10 Zulhijjah. Seeloknya berada di sana sebahagian hari ke-9 dan sebahagian malam ke-10 Zulhijjah.
BERMALAM DI MUZDALIFAH  
Satu lagi wajib haji ialah bermalam atau berada di Muzdalifah selepas jam 12 malam sehingga subuh 10 Zulhijjah. Meninggalkannya tanpa uzur syar’ie adalah berdosa dan wajib membayar dam. Dalam perjalanan ke Mina, jemaah disunatkan mengutip batu untuk melontar jumrah.
BERMALAM DI MINA 
Jemaah haji wajib bermalam di Mina pada malam tasyrik, iaitu malam 11, 12 dan 13 Zulhijjah dan wajib melontar tiga jumrah. Disyaratkan bermalam sepenuhnya di Mina atau lebih daripada separuh malam tetapi boleh meninggalkan Mina menuju Makkah pada hari ke-12 Zulhijjah.

No comments:

Post a Comment