Apakah yang menjadi sebab bagi sesuatu tindakan kita? Adakah kita pernah melakukan sesuatu tindakan tanpa sebarang sebab? Percayakah kita bahawa apa juga sebab bagi sesuatu tindakan itu dapat dirumuskan kepada dua kategori iaitu sama ada untuk mengelakkan kesusahan atau untuk mendapatkan kesenangan? Jika rumusan ini benar mengapakah kita perlu memahami persoalan ini dalam konteks kehidupan seorang muslim? Untuk menjawab persoalan-persoalan tersebut, rencana ini akan cuba menerangkan tiga perkara berikut:
- Apakah yang dimaksudkan dengan mengelak kesusahan dan mendapat kesenangan?
- Apakah hubungan ‘mengelak kesusahan dan mendapat kesenangan’ dalam kehidupan seorang muslim?
- Apakah tindakan yang sepatutnya kita ambil.
KESUSAHAN DAN KESENANGAN
Sebenarnya kita mempunyai sebab tertentu bagi setiap tindakan yang kita lakukan. Sebagai contoh, kita semua memasuki sekolah sejak berumur enam tahun hingga tamat tingkatan tiga, lima atau enam. Setelah tamat persekolahan kita menyambung pengajian di universiti atau institusi lain. Persoalannya, mengapakah kita perlu menuntut ilmu dalam jangka masa yang begitu lama? Jawapannya mungkin berbagai-bagai seperti untuk: (a) menambah ilmu, (b) mendapat kelulusan yang tertinggi, (c) mendapat peluang kerjaya yang lebih baik, (d) mendapat pengaruh dalam masyarakat, (e) mendapat keredaan Allah, dan lain-lain. Sebenarnya semua alasan tersebut dapat dikategorikan sebagai kesenangan. Jadi, kesenangan yang dimaksudkan di sini meliputi pelbagai perkara yang diingini oleh manusia.
Sebaliknya, jawapan bagi soalan di atas boleh juga dijawab seperti untuk: (a) mengelakkan buta huruf dan kebodohan, (b) mengelakkan kemiskinan, (c) mengelakkan diri daripada dipandang hina, (d) mengelakkan kemurkaan Allah, dan lain-lain yang seumpamanya. Jawapan ini pula dapat dikategorikan sebagai kesusahan. Ini bermakna kesusahan juga meliputi banyak perkara yang sememangnya tidak disukai oleh manusia. Cuba kita imbas kembali dan fikirkan secara mendalam: adakah kita pernah melakukan sesuatu tanpa sebab tertentu? Sebenarnya lebih besar sebab atau alasan yang menjadi pendorong sesuatu tindakan, maka lebih besar pula usaha dan pengorbanan yang kita curahkan. Kemudian fikirkan juga: adakah terdapat sebab musabab yang tidak dapat dikategorikan sebagai kesenangan dan kesusahan? Pada hakikatnya tidak ada perkara yang kita lakukan tanpa sebab dan semuanya tidak terlepas daripada dua kategori tersebut.
Bagaimanapun mengelakkan kesusahan merupakan sebab yang lebih kuat untuk kita melakukan sesuatu. Umpamanya, alasan untuk mengelakkan kemiskinan adalah lebih besar kesannya jika dibandingkan dengan alasan untuk menambah kekayaan, dalam mendorong seseorang untuk berusaha mencari rezeki. Begitu juga dalam soal menjaga maruah, mengelakkan kehinaan adalah lebih besar kesannya daripada meningkatkan darjat kemuliaan. Seseorang akan menjadi lebih marah apabila diri atau keluarganya dihina dan terhina.
HUBUNGANNYA DALAM KEHIDUPAN SEORANG MUSLIM
Persoalan yang lebih besar yang perlu kita fikirkan secara berterusan ialah untuk apakah kita hidup di muka bumi ini dan kenapakah kita perlu menjadi seorang muslim. Pernahkah kita bertanya kepada diri kita sendiri, “Untuk apakah kita bangun pada setiap pagi dan kemudian pergi bekerja serta melakukan berbagai-bagai urusan?” Kita perlu memikirkan secara berterusan supaya kita sentiasa merasai keperluannya. Jika kita tidak merasai keperluan yang betul, maka keperluan yang salah akan menguasai fikiran kita. Ini bermakna kita hidup untuk sebab yang ditentukan oleh suasana di sekeliling kita sama ada kita sedari ataupun tidak. Oleh itu kita perlu melihat apakah sebab yang telah digariskan oleh Allah sendiri di dalam al-Quran yang mulia.
Mari kita fikirkan dan renungi firman Allah dalam Surah al-Kahfi, ayat 29 hingga 31yang bermaksud:
"Dan katakanlah, kebenaran itu datangnya daripada Tuhanmu, maka sesiapa yang ingin (beriman), hendaklah ia beriman dan sesiapa yang ingin (kafir) biarlah ia kafir. Sesungguhnya Kami telah sediakan bagi orang yang zalim itu neraka yang bahang panasnya mengepung mereka. Dan jika mereka meminta minuman, nescaya mereka akan diberi minum dengan air seperti besi yang mendidih yang menghanguskan mereka. Itulah minuman yang paling buruk dan tempat istirehat yang paling tidak diingini.'
Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal saleh tentulah Kami tidak akan mensia-siakan pahala orang-orang yang mengerjakan amalannya dengan baik.
Bagi mereka itulah syurga ‘Adn yang mengalir sungai di bawahnya. Dalam syurga itu mereka dihiasi dengan gelang emas dan mereka memakai pakaian hijau yang diperbuat daripada sutera halus dan sutera tebal sedang mereka duduk sambil bersandar di atas singgahsana yang indah. Itulah pahala yang sebaik-baiknya dan tempat istirehat yang paling menawan.”
Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal saleh tentulah Kami tidak akan mensia-siakan pahala orang-orang yang mengerjakan amalannya dengan baik.
Bagi mereka itulah syurga ‘Adn yang mengalir sungai di bawahnya. Dalam syurga itu mereka dihiasi dengan gelang emas dan mereka memakai pakaian hijau yang diperbuat daripada sutera halus dan sutera tebal sedang mereka duduk sambil bersandar di atas singgahsana yang indah. Itulah pahala yang sebaik-baiknya dan tempat istirehat yang paling menawan.”
Dalam ayat 29, Allah SWT menegaskan bahawa kebenaran itu datangnya daripada Allah sendiri. Ini bermakna kebenaran daripada Allah yang meliputi keimanan terhadap kewujudan dan kekuasan-Nya, keimanan terhadap perkara-perkara ghaib dan keimanan terhadap Islam adalah datangnya daripada Allah SWT sendiri. Allah SWT juga memberi kata dua iaitu terpulanglah kepada setiap individu untuk membuat pilihan sama ada mahu beriman ataupun tidak. Ini bermakna setiap diri perlu membuat keputusan yang sangat besar iaitu mahu beriman atau mahu menjadi kafir. Walaupun demikian Allah SWT tidak membiarkan manusia untuk membuat keputusan yang sangat besar ini tanpa menyediakan sebab yang jelas. Sebaliknya, Allah SWT telah menyediakan dua sebab besar iaitu (i) untuk mengelakkan azab neraka dan (ii) untuk mendapatkan syurga.
Pada hakikatnya apakah kesusahan yang lebih besar daripada kesusahan di neraka? Apakah azab yang lebih besar daripada azab di neraka? Adakah kita dapat mencari satu bentuk kesusahan di dunia yang dapat menandingi atau melebihi kesusahan di akhirat? Tentu sekali kita bersetuju bahawa tidak ada kesusahan atau azab dunia yang lebih besar daripada kesusahan atau azab akhirat. Bahkan apa juga kesusahan atau azab di dunia ini adalah jauh lebih kecil daripada kesusahan dan azab akhirat. Begitulah juga dengan kesenangan atau nikmat syurga yang semestinya jauh lebih tinggi dan jauh lebih berkualiti dengan segala bentuk kesenangan atau nikmat duniawi. Jadi bukankah ini merupakan sebab yang sebenar untuk kita menjadi muslim yang sebenar? Cuba lihat pula firman Allah SWT dalam Surah as-Saff ayat 10 yang bermaksud:
"Wahai orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu daripada azab yang pedih?”
Sekali lagi Allah menjadikan sebab untuk mengelakkan azab neraka sebagai suatu tawaran kepada orang yang beriman. Mengapakah Allah tidak menjanjikan balasan syurga sebagai tawaran yang pertama?Sesungguhnya Allah SWT yang menciptakan manusia, maka Dia lebih tahu tentang jiwa manusia.
TINDAKAN YANG SEPATUTNYA KITA AMBIL
Apakah tindakan yang sepatutnya kita ambil supaya kita dapat menjadi seorang muslim mukmin yang sebenarnya? Apakah tindakan yang dapat menjadikan kita seorang muslim mukmin yang mempunyai sebab yang jelas dan kuat. Mudah-mudahan dengan sebab yang jelas ini kita tidaklah menjadi seorang muslim hanya pada nama sahaja. Sebaliknya kita menjadi seorang muslim yang benar-benar merasai keislaman kita dan seterusnya hidup dengan menjiwai Islam sepenuhnya. Oleh demikian, pertama sekali kita perlu jelas tentang perkara yang perlu kita lakukan iaitu segala tuntutan Islam ke atas kita. Di sini kita perlu memahami Islam sebagai satu sistem yang meliputi seluruh aspek kehidupan. Kita juga perlu memahami bagaimanakah cara untuk menegakkan sistem Islam.
Setelah kita memahami tuntutan Islam yang perlu kita laksanakan mengikut marhalah (peringkat) dan keperluannya, kita perlu pula mencari sebab yang sebenar yang dapat mendorong kita untuk bekerja. Di sinilah kita perlu berusaha keras dan berdoa dengan bersungguh-sungguh supaya Allah SWT memberikan keyakinan yang mendalam kepada kita untuk merasai kewujudan neraka dan syurga. Kita perlu berdoa semoga Allah SWT mencampakkan rasa takut yang sebenarnya terhadap neraka yang penuh dengan azab yang mengerikan.
Kita berdoa semoga Allah menjadikan rasa takut terhadap neraka itu jauh lebih besar daripada rasa takut terhadap segala bentuk azab dunia. Pada waktu yang sama kita perlu berdoa semoga Allah SWT mencampakkan rasa cinta terhadap syurga-Nya yang penuh dengan segala macam kenikmatan supaya kita dapat merasai ianya jauh lebih tinggi daripada kecintaan kepada segala bentuk nikmat duniawi.
- membaca al-Quran dengan memahami pengertiannya;
- solat dengan penuh khusyu’;
- puasa dengan menjaga lintasan-lintasan hati;
- zikir dengan penuh tawadhu’; dan lain-lain.
Sebagai kesimpulan, kita dapat katakan bahawa setiap perkara yang kita lakukan mempunyai sebab-musabab tertentu. Sebab-musabab itu sebenarnya dapat dikategorikan kepada dua iaitu sama ada untuk mengelakkan kesusahan ataupun untuk mendapat kesenangan. Sebagai seorang muslim kita perlu merasai bahawa kita mempunyai sebab-musabab yang sangat besar dan hakiki dalam usaha kita untuk menegakkan sistem Islam.
Oleh demikian tugas kita ialah memproses hati kita supaya dapat benar-benar merasai dan meyakini kewujudan Allah SWT, neraka yang mengerikan dan syurga yang menggembirakan. Ketakutan kita terhadap neraka mestilah melebihi ketakutan kita terhadap segala bentuk azab duniawi manakala kecintaan kita terhadap nikmat syurga juga mesti melebihi kecintaan kita terhadap segala bentuk nikmat duniawi. Mudah-mudahan dengan keyakinan tersebut kita akan menjadi muslim dan mukmin yang bekerja dan berusaha tanpa mengenal jemu dan letih sehinggalah kita dipanggil balik oleh Allah SWT kerana kita mempunyai sebab yang sebenar - susah yang sebenar (neraka) dan senang yang sebenar (syurga).
No comments:
Post a Comment