Monday, September 13, 2010

INSAN BERAQIDAH SATU TUNTUTAN

SIAPAKAH INSAN?

Insan adalah makhluk yang diciptakan dengan beberapa persediaan keupayaan untuk hidup seperti keupayaannya untuk berdiri tegak dan bergerak, bertubuh badan sempurna dan berakal, berakhlak mulia dan daya berbahasa yang mudah difahami. Insan adalah makhluk ciptaan Allah SWT. Ia berasal daripada tanah hitam yang kemudian melahirkan generasi demi generasi silih berganti melalui pancutan air yang hina (mani). Firman Allah yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat kering (yang berasal) daripada lumpur hitam yang diberi bentuk.” (Al-Hijr: 26)

Dan Firman-Nya yang bermaksud: “Kemudian Dia menjadikan keturunannya daripada sari pati air yang hina (mani).” (As-Sajadah: 8)
INSAN PERTAMA

Menyorot sejarah kejadian manusia pertama di muka bumi iaitu Adam AS dan isterinya, Hawa, Allah SWT telah memberitakan melalui wahyu-Nya serta membentuk kefahaman manusia mengenai asas yang menjadi teras kejadian itu.

Antara persediaan atau kemampuan asas yang menjadi teras dalam penciptaan manusia ialah:
  • Mengenal hakikat diri sendiri dalam rangka pembersihan berubudiyah kepada Allah SWT.
  • Hakikat keilmuan yang memelihara martabat insan sebagai hamba di hadapan Allah SWT.
  • Menghadapi setiap pergolakan dan pertarungan dengan mencapai kemenangan.
  • Tugas dan amanah besar bagi pengurusan alam sejagat selaku khalifatullah (khalifah Allah).
  • Menjuruskan seluruh kemudahan yang disediakan di langit dan di bumi ke arah mardhotillah sebagai satu tanggungjawab yang wajib disempurnakan.
Ini dapat difahami berdasarkan ayat al-Quran, yang antaranya bermaksud:

“... padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan Yang Maha Esa, tiada Tuhan selain Dia. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka sekutukan.” (At-Taubah: 31)

“Dan Dia menundukkan untukmu apa yang ada di langit dan apa yang di bumi semuanya (sebagai rahmat) daripada-Nya.” (Al-Jatsiyah: 13)

Dalam ayat 30 hingga 37 surah al-Jatsiyah juga Allah menjelaskan tentang asas yang menjadi teras keupayaan perhambaan manusia berhubung amanah khalifah Allah SWT, hakikat keilmuan sebagai prasyarat memikul tanggungjawab, pertarungan perjuangan antara yang hak dengan yang batil, jalan penyelesaian hakiki bagi setiap kesilapan, kelemahan dan kelalaian adalah dengan kembali kepada Allah SWT untuk memampukan insan terus berada dalam perjuangan bagi menyempurnakan amanah yang ditaklifkan.

Asas-asas inilah yang membawa manusia ke arah kesempurnaan perjuangan hidup sepanjang umur dunia yang tidak pernah melanggar batas sunnatullah. Selagi ada manusia, semua sumber alam dapat terus dimanfaatkan seadil-adilnya. Penerusan usaha penguasaan ilmu akan berkembang menuju sasaran terakhir bagi mengenal si pemberinya yang bersifat Maha Mengetahui dan sentiasa Maha Berilmu. Syakhsiah insan terpelihara dan terus meningkat selaras dengan teras yang dibekalkan oleh Allah SWT. Manusia semakin bersedia menghadapi pertarungan dan persaingan yang mematangkan dalam rangka menyempurnakan tugas khalifatullah di bumi, memakmurkan hidup insan di bawah lindungan rahmat Allah SWT serta melaksanakan pembangunan bagi mencapai matlamat keredaan-Nya di dunia dan di akhirat kelak.

INSAN BERKUALITI

Asas-asas utama inilah yang menjadi teras bagi mengawal kualiti insan yang sebenarnya. Kualiti yang dimaksudkan bukan kualiti dari segi luaran yang masih boleh dibayar dengan kebendaan. Sebaliknya insan berkualiti ialah manusia yang jelas ubudiyahnya hanya kepada Allah SWT. Bukan manusia anggun dan canggih dari segi teknologi semata-mata, sebaliknya mempunyai hubungan yang mantap dan erat dengan Allah SWT melalui ubudiyah yang menyeluruh sebagai natijah daripada kefahaman yang sahih lagi mendalam yang dibina di atas asas tauhid, La ilaha illallah.

INSAN BERKEYAKINAN

Itulah kefahaman yang seharusnya dimiliki setiap manusia dan itulah kefahaman yang sewajarnya dimiliki setiap muslim serta muslimah. Kefahaman itu dijelaskan dengan nyata oleh penciptanya sendiri melalui wahyu-Nya yang kemudian disampaikan oleh Rasul-Nya, Muhammad SAW. Kefahaman itulah juga yang dipraktikkan dalam kehidupan Rasulullah SAW sendiri dan generasi awal pimpinannya.

Kefahaman itulah yang membentuk keyakinan insan sebagai hamba Allah SWT dan kemampuannya untuk melihat lebih jauh dengan wawasan yang melintasi alam nyata yang sangat singkat umurnya, bukan keyakinan yang dibina di atas asas maklumat, andaian atau kajian berkala yang selalu berubah mengikut matlamat manusia yang pelbagai yang tidak dipimpin oleh ajaran Allah SWT.

INSAN TERPUJI DAN INSAN TERKEJI

Insan tidak akan sesat dalam kehidupan dan perjuangannya selagi perhambaannya kepada Allah SWT berpaksikan aqidah yang benar. Ia tidak akan bersifat angkuh selagi ilmunya menambahkan ketaqwaannya dan tidak akan bersikap zalim selagi hawa nafsu tidak memerintah dirinya. Ia tidak akan merosakkan alam selagi ia memikul amanah khalifatullah di bumi. Bahkan ia sentiasa dalam keadaan terpuji.

Sebagai kurnian-Nya, Allah SWT memanggilnya sebagai orang terbaik, manusia yang benar, orang yang mendapat kemenangan dan keredaan-Nya, orang yang bertaqwa dan pelbagai gelaran lagi yang layak untuk orang-orang yang terpuji. Banyak ayat Allah dalam konteks ini. Antaranya yang bermaksud:

“Dan mereka yang beriman kepada kitab (al-Quran) yang telah diturunkan dan kitab-kitab yang telah diturunkan sebelummu, serta mereka yakin adanya (kebangkitan) akhirat. Mereka itulah orang-orang yang tetap mendapat petunjuk daripada Tuhannya dan mereka orang-orang yang beruntung.” (Al-Baqarah: 4-5)

Pada akhir ayat itu terdapat perkataan 'orang-orang yang beruntung’ yang bermaksud pujian Allah ke atas mereka.

“Hai orang-orang yang beriman, ruku’lah, sujudlah, sembahlah Tuhanmu dan berbuatlah kebajikan supaya mendapat kemenangan.” (Al-Haj: 77)

“Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang mukmin bahawa sesungguhnya bagi mereka kurnia yang besar daripada Allah.” (Al-Ahzab: 47)

Begitu juga sebaliknya, tidak kurang pula insan yang mendapat celaan Allah SWT. Mereka disebut sebagai orang yang rugi, ingkar, berdosa, melampau dan berbagai-bagai celaan lain yang layak bagi golongan insan yang berbuat keji. Banyak ayat al-Quran yang menyatakan perkara ini. Antaranya firman Allah yang bermaksud:

“Maka siapakah yang lebih zalim daripada orang yang membuat dusta terhadap Allah dan mendustakan kebenaran ketika datang kepadanya? Bukankah di neraka jahanam tersedia tempat tinggal bagi orang-orang yang kafir.” (Az-Zumar: 32)

“Barang siapa yang mempersekutukan (sesuatu) dengan Allah, maka sesungguhnya ia telah tersesat sejauh-jauhnya.” (An-Nisa’: 116)

INSAN BERAQIDAH

Dakwaan bahawa ada manusia berkecuali daripada sesuatu aqidah adalah tidak benar. Malah dakwaan itu berlawanan dengan realiti sepanjang sejarah kewujudan manusia sendiri. Sejarah manusia telah mempersaksikan, biarpun mereka hidup pada zaman bila sekalipun, di benua mana dan dalam apa juga suasana, mereka tidak dapat lari daripada beraqidah. Perbezaannya cuma sama ada aqidah mereka adalah aqidah yang hak atau aqidah yang batil. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami mengutus kamu dengan membawa kebenaran sebagai pembawa berita gembira dan pemberi ingatan. Dan tidak ada satu umat pun melainkan telah ada padanya seorang pemberi ingatan.” (Surah Fatir: 24)

Maksud perkataan ‘nazir’ dalam ayat itu ialah seorang nabi, rasul atau alim yang mewarisi amanah para nabi dengan memperingatkan ummah tentang keburukan atau akibat yang menimpa mereka yang kufur kepada Allah SWT, kufur dengan kitab-kitab-Nya, kufur dengan rasul-Nya dan kufur dengan syariat-Nya; memperingatkan ummah mengenai kebinasaan bagi mereka yang melakukan syirik dan maksiat terhadap Rab serta rasul-Nya serta penyelewengan, kezaliman, keburukan dan kefasadan yang dilakukan.

APAKAH MAKSUD AQIDAH?

Aqidah ialah perkara-perkara besar yang dapat diterima oleh akal, pendengaran dan fitrah manusia, yang diyakini oleh sanubari insan sepenuhnya, dirinya menjadi tenteram dan tenang dengannya serta tiada keraguan terhadapnya.

Misalnya, kepercayaan yang teguh terhadap kewujudan penciptanya, ilmu dan kekuasaan-Nya ke atas manusia, bertemu dengan-Nya sesudah kematian, balasan-Nya atas setiap usaha yang dipilih oleh insan, bukan balasan atau ganjaran ke atas amalan yang dilakukan dengan terpaksa.

Insan beraqidah mempunyai keyakinan yang teguh. Keteguhan keyakinan itu tercerna menerusi ketaatannya kepada setiap perintah Allah sama ada yang berbentuk suruhan mahupun larangan. Ketaatannya ialah ketaatan yang tidak berbelah bagi untuk melakukan setiap suruhan serta meninggalkan segala larangan sama ada yang disampaikan oleh Allah menerusi kitab-Nya atau Rasul-Nya. Ketaatan yang sebenar akan membersihkan diri, menyuburkan perasaan dan menjernih rasa hati, membuahkan tingkah laku yang sempurna serta mengatur kehidupan yang harmoni.

Insan beraqidah yakin Allah SWT Maha Kaya, tidak berhajat kepada sesuatu pun daripada makhluk, sebaliknya insan itu sendiri yang terlalu berhajat dan bergantung kepada-Nya dalam semua hal dan keadaan. Bahkan setiap tarikan dan hembusan nafasnya juga memerlukan pertolongan Allah. Begitu juga bagi setiap harapan, keinginan, tawakkal dan rasa tenteramnya adalah kurniaan Allah. Semuanya memerlukan rahmat daripada Allah.

Dengan itu, terbukti bahawa Dialah Tuan yang tiada lagi ketuanan selain Dia. Dialah sembahan yang sebenarnya dan Dialah Rab. Tidak boleh sama sekali bagi insan beri’tiqad selain daripada-Nya sebagai Allahu Wahidul Qahhar.

No comments:

Post a Comment