Sunday, September 19, 2010

KASIH KEPADA RASULULLAH SAW

Tajuk ini berhubung dengan permasalahan aqidah atau keyakinan kita kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW. Sekiranya cacat aqidah ini maka cacatlah iman kita apabila kembali kepada Allah SWT kelak.  Jika sempurna aqidah ini, sempurnalah iman kita di dunia dan di akhirat.
 
SIRAH BERHUBUNG DENGAN KASIH KEPADA RASULULLAH SAW
 
Satu ketika, Rasulullah SAW meminta supaya seorang sahabatnya yang menjadi  tukang kayu menyediakan sebuah mimbar baru. Mimbar lama dibuat daripada batang kurma yang dikerat. Ketika Nabi SAW hendak berucap atau berkhutbah Baginda akan berdiri di atas batang kurma tersebut.

Setelah siap mimbar baru, lalu dibawalah kepada Nabi Muhammad SAW. Sebelum sempat Nabi memijak mimbar yang baru, Nabi SAW telah terdengar mimbar lama menangis. Lalu Nabi SAW meletakkan tangannya yang mulia itu ke atas mimbar lama itu, barulah mimbar lama itu berhenti menangis. Seolah-olah mimbar lama dapat merasakan khidmatnya tidak diperlukan lagi kerana telah ada pengganti mimbar yang baru. Sebab itulah disebutkan di dalam Al-Quran, maksudnya :

"Tidak Kami utuskan engkau, wahai Muhammad kecuali sebagai pembawa Rahmat ke seluruh alam."

Hatta kayu yang mati pun dapat merasai rahmat dengan kedatangan dan risalah yang di bawa oleh Nabi Muhammad Rasulullah SAW.  

Satu ketika Nabi SAW berdoa supaya Allah SWT memperbanyakkan makanan untuk memberi makan kepada 80 orang sahabatnya kerana biji-bijian yang ada untuk dibuat makanan hanyalah sekadar dua cupak sahaja. Doa itu dimakbulkan oleh Allah SWT, lalu sahabat-sahabat mendapat makanan secukupnya.
 
Rasulullah SAW berada bersama-sama sahabat pada hari Hudaibiyah iaitu hari orang-orang Islam ditahan daripada memasuki Makkah untuk melakukan Umrah. Oleh itu sahabat-sahabat berhenti di Hudaibiyah kerana dahaga. Selepas diberitahu bekalan air sudah kehabisan, Nabi meminta supaya dibawa sebuah bekas kepadanya. Nabi meletakkan tangannya dalam bekas itu. Kemudian air pun keluar daripada celah-celah jari Nabi seperti mata air. Lalu sahabat-sahabat pun minum dan berwudhu' dengan air daripada tangan Rasul SAW. Bilangan mereka kira-kira 1,500 orang.
 
Untuk mengasihi Nabi SAW kita perlu mengenalinya terlebih dahulu. Antaranya ialah:
  • Siapakah Rasulullah SAW?
  • Keturunan atau nasabnya
  • Sifat-sifat Baginda
  • Mu’jizatnya
  • Beriman dengan Nabi SAW
  • Hukum mengikut Nabi SAW
  • Perintah dan tegahan Nabi  Muhammad SAW
  • Ke manakah Rasulullah SAW memimpin kita?
  • Hukum mengasihi dan mentaatinya.
Kita mengetahui bahawa Nabi adalah orang Arab Quraisy, bernama Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutalib bin Hashim sampai nasabnya kepada Nabi Ismail AS iaitu putra Saidina Ibrahim AS. Bonda Nabi Muhammad bernama Aminah bt Wahab.
 
SIFAT NABI MUHAMMAD SAW
 
Nabi Muhammad SAW merupakan makhluk Allah SWT yang paling sempurna sifatnya dan paling utama dari segi kecerdikan. Beliau adalah pilihan Allah SWT daripada jutaan manusia yang dijemput datang ke dunia ini. Baginda adalah Rasul yang terakhir.

Bagindalah antara makhluk Allah SWT yang dianugerahkan beberapa keistimewaan dari segi kecerdikan serta sifat-sifat wajib bagi Nabi iaitu jujur, siddiq, amanah dan tabligh. Selain itu Rasulullah SAW juga memiliki mukjizat serta dibekalkan dengan wahyu Ilahi. Jika hendak dibezakan Nabi dengan manusia di dunia ini jauhnya bagai langit dan bumi. Oleh itu apa yang ditentukan oleh Rasulullah SAW, jika bercanggah dengan ketentuan manusia, yang bercanggah itu akan gugur.
 
Dengan memiliki perkara-perkara di atas, akan timbul  rasa kasih kepada Nabi, yang mana ini akan menyekatkan kita daripada tenggelam dalam lautan hawa nafsu, serta jauh daripada gangguan-gangguan syaitan. Surah Al An'Aam ayat 153 bermaksud :
 
“Inilah satu-satunya jalanku yang lurus (iaitu Islam) maka hendaklah kamu mengikutinya. Jangan mengikuti jalan-jalan lain, nescaya kamu akan berpecah daripada jalan Allah. Yang demikian itu telah diwasiatkan oleh Allah kepada kamu supaya kamu bertaqwa”
 
Ini pesanan Allah SWT kepada kita. Sahabat-sahabat dahulu, mereka menjadi sebaik-baik umat adalah kerana besarnya kasih mereka kepada Rasulullah SAW. Mereka intizam dengan syarak, mereka merasa hidup senang dan susah bersama-sama Rasulullah SAW. Kehidupan mereka semua sekali mengikut contoh Rasulullah SAW. Oleh itu kita juga boleh mendapat kasih yang sebegitu sekiranya kita lihat contoh para sahabat, bagaimana mereka hidup bersama-sama Rasullullah SAW dan bagaimana mereka melaksanakan kerja-kerja dakwah. Sebab itu hanya beberapa orang sahabat-sahabat Nabi(lelaki) dikebumikan di Madinatul Munawarah, yang lain-lain di serata tempat di dunia kerana mereka bekerja untuk menyebarkan petunjuk Allah SWT. Tidak tinggal umur mereka melainkan mereka gunakan untuk dakwah dan kebaikan.
 
Kasihlah kepada sahabat-sahabat Nabi SAW dan ikut contoh-contoh baik yang mereka ambil daripada Rasulullah SAW. Hadis Marfuk daripada Umar r.a;

“ Aku(Rasulullah SAW) bertanya kepada tuhanku tentang perselisihan sahabat-sahabat selepas ku. Lalu Allah mewahyukan kepadaku: ‘Wahai Muhammad, sesungguhnya sahabat-sahabat engkau disisiku seperti bintang-bintang di langit, setengah kuat setengahnya kurang kuat, bagi setiap mereka ada mempunyai cahaya dan mendapat cahaya daripada Allah SWT’.
 
Kita mesti kasih kepada sahabat-sahabat dan orang-orang beriman, kerana berkat usaha mereka kita mendapat nikmat Islam. Diketika membaca Al-Quran, dituntut juga kita berdoa untuk sahabat-sahabat Rasulullah SAW dan orang-orang beriman. “Janganlah ada sesuatu yang tidak baik dihati kami dengan orang-orang yang beriman”. Semoga Allah campakkan rasa hormat, rasa kasih, rasa terhutang budi kepada Rasulullah SAW yang telah bersusah payah menyampaikan dakwahnya.
 
Keimanan kepada Rasulullah SAW perlu memenuhi segenap sudut dan ruang hati kita, melimpah sehingga lahir dalam bentuk amalan yang memperlihatkan keimanan kita kepada Rasulullah SAW dan keyakinan kepada Allah SWT. Allah SWT berfirman dalam Surah An-Nisa' ayat 170 yang bermaksud:
 
"Wahai manusia, sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul yang benar daripada Tuhan kamu, maka hendaklah kamu beriman. Itu adalah lebih baik bagi kamu."
 
Sesudah beriman kepada Nabi SAW, kita dituntut pula mentaatinya. Bukan setakat pengakuan beriman saja sebaliknya hendaklah mempraktikkannya dalam semua urusan hidup baik di dalam rumahtangga, mendidik anak-anak, pergaulan dengan masyarakat, di tempat kerja dan di mana-mana saja. Kita dikehendaki taat sepenuhnya kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Firman Allah SWT di dalam surah An-Nisa' ayat 159 bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu taat kepada Allah dan Rasul".
 
Perintah ini adalah merupakan perintah yang wajib. Ketaatan kepada Allah SWT dan Nabi SAW adalah wajib, bukan sunat, harus atau untuk mendapatkan pahala. Wajib kerana ini adalah perintah Allah SWT. Untuk merasai redha dengan perintah ini kita perlu melalui proses yang betul bagi melahirkan ketaatan, kepatuhan dan sepanjang hayat, sehinggalah kita dipanggil pulang menemui Allah SWT dalam suasana bagaimana sekalipun sama ada muda, seorang diri, berumah tangga, memiliki anak-anak, dan bermasyarakat.
 
Kita hendaklah berusaha mempertingkatkan kefahaman, kesedaran, keyakinan dan syu'ur(rasahati) dari masa ke semasa sehingga kita dapat memberi ketaatan sepenuhnya di dalam kehidupan ini untuk mencari keredhaan Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran, ayat 31 bermaksud :
 
“Katakan Wahai Muhammad: jika kamu kasih kepada Allah, maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu.”
 
Untuk mendapat kasih Allah dan Rasul-Nya kita hendaklah mengikut apa yang diperintah dan ditegah oleh Rasulullah SAW. Hanya dengan patuh kepada Rasulullah SAW barulah kita akan mendapat kasih Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
 
“Semua kamu akan masuk syurga, kecuali orang-orang yang membantah. Sahabat-sahabat bertanya: ‘Ya Rasulullah, siapakah yang membantah? Rasulullah  bersabda, ‘Siapa yang mentaati aku dia akan masuk syurga dan siapa yang membantahi atau mengingkari aku maka sebenarnya dia membantah.”
 
Hadis ini memberi khabar gembira bahawa kita akan masuk ke dalam syurga kerana telah dipilih tergolong di dalam kumpulan orang-orang Islam. Apabila kita menerima Islam, harapan kita sungguh besar kepada Allah SWT. Kita rasa selamat daripada neraka. Jika melakukan kesilapan kena taubat, semoga taubat kita diterima. Ini juga dikatakan kasih kepada Allah SWT.

Di dalam sebahagian hadis yang lain, yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan Tarmizi, Nabi Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
 
“Sesiapa yang mentaati aku, maka sesungguhnya dia mentaati Allah SWT. Dan siapa yang mengingkari ( membantah, menderhakai ) aku, maka sesungguhnya ia menderhakai Allah SWT.”
 
Di dalam kitab-kitab yang terdahulu, Taurat dan Injil, ada penjelasan tentang kedatangan Nabi SAW. Di dalam surah as-Saff, Allah SWT menceritakan bahawa keyakinan tentang kenabian Nabi Muhammad SAW juga dituntut kepada orang-orang Yahudi dan Kristian, tetapi ada di kalangan mereka yang menolaknya. Hal ini ada dinyatakan di dalam surah as-Saff ayat 6 yang bermaksud:

“Ingatlah ketika Isa bin Mariam berkata kepada Bani Israel: ‘Wahai Bani Israel, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu, membenarkan kitab (yang turun) sebelumku dan menyampaikan berita gembira dengan kedatangan Rasul sesudahku yang namanya Ahmad (Muhammad).”

Kenapa mereka tidak mahu menerima dan meyakini kerasulan nabi Muhammad SAW? Ini adalah kerana mereka menolak kebenaran dan mendustakan ayat-ayat Allah SWT. Mereka seringkali ingkar kepada perintah Allah SWT dan menghalalkan perkara-perkara yang haram. Akibatnya mereka menjadi golongan yang sukar untuk mentaati Allah dan Rasul dan tidak mahu menerima Islam.

No comments:

Post a Comment