Tuesday, February 22, 2011

NILAI HIDUP MENURUT ISLAM

Mujahid Fathi Yakan di dalam kitabnya, Maza Ya’ni Intima-i Li al-Islam, telah menyatakan bahawa di dunia terdapat tiga kategori manusia.
 
Kategori Pertama
 
Golongan yang hidup hanya untuk dunia semata-mata. Mereka dinamakan sebagai golongan ad-Dahriyyun. Sikap mereka jelas seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran:
 
وَقَالُوٓاْ إِنۡ هِىَ إِلَّا حَيَاتُنَا ٱلدُّنۡيَا وَمَا نَحۡنُ بِمَبۡعُوثِينَ (٢٩)
“Dan tentu akan mereka katakan: “Hidup hanyalah kehidupan kita di dunia sahaja dan kita sekali-kali tidak dibangkitkan.”
- Surah al-An’am: ayat 29

وَقَالُواْ مَا هِىَ إِلَّا حَيَاتُنَا ٱلدُّنۡيَا نَمُوتُ وَنَحۡيَا وَمَا يُہۡلِكُنَآ إِلَّا ٱلدَّهۡرُ‌ۚ وَمَا لَهُم بِذَٲلِكَ مِنۡ عِلۡمٍ‌ۖ إِنۡ هُمۡ إِلَّا يَظُنُّونَ (٢٤)
“Dan mereka berkata: “Kehidupan tidak lain hanyalah kehidupan dunia sahaja, kita mati dan kita hidup dan tidak ada yang membinasakan kita selain masa. Dan mereka  sekali-kali tidak mempunyai pengetahuan tentang itu, mereka tidak lain hanyalah menduga-duga sahaja.”- Al Jatsiyah: ayat 24
 
Kategori Kedua
 
Golongan yang telah hilang pedoman, terumbang ambing, aqidah bersimpang siur, mereka melakukan kesesatan dan menyimpang dari jalan Allah SWT dalam kehidupan duniawi. Namun mereka masih menyangka mereka membuat kebaikan. Meskipun mereka mempunyai kepercayaan kepada Allah SWT dan Hari Qiyamah tetapi aqidah mereka hanyalah gambaran semata-mata yang terputus hubungan dengan aktiviti atau amalan hidup mereka. Mereka itu pada hakikatnya berfahaman kebendaan (meterialis) walaupun kadangkala mereka melakukan kerja-kerja yang berbentuk kerohanian.
 
Kategori Ketiga
 
Golongan yang menganggap bahawa dunia ini sebagai ladang tanaman untuk mendapat atau memungut hasilnya di akhirat kelak. Golongan ini benar-benar beriman dengan Allah SWT. Mereka mengetahui hakikat hidup serta memahami nilai dunia  berbanding dengan Hari Akhirah. Allah SWT membandingkan mereka seperti dalam FirmanNya:
 
وَمَا ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَآ إِلَّا لَعِبٌ۬ وَلَهۡوٌ۬‌ۖ وَلَلدَّارُ ٱلۡأَخِرَةُ خَيۡرٌ۬ لِّلَّذِينَ يَتَّقُونَ‌ۗ أَفَلَا تَعۡقِلُونَ (٣٢)
“Dan tidaklah kehidupan dunia ini selain daripada bermain-main dan bersenda gurau belaka. Dan sungguhnya kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka tidaklah kamu memahaminya.” - Surah al-An’am: ayat 32

Mereka yang benar-benar beriman menganggap dunia sebagai medan perlumbaan untuk mentaati Allah SWT dan mencari keredhaanNya. Seluruh bidang hidupnya (ilmu, perniagaan, kekayaan, rumah, masa dan fikiran) diarahkan kepada Jalan Allah SWT.
 
Bagi menjamin supaya urusan hidup ini terarah menurut lunas-lunas Islam maka sewajarnya difahami dan dihayati beberapa kewajipan, iaitu:
 
1.    Mengetahui matlamat hidup. Sebagaimana Firman Allah SWT:
 
وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ (٥٦)
“Dan tidak Aku menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka mengabdikan diri (kepadaKu).- Surah az-Zariyat: ayat 56
 
2.   Mamahami nilai dunia berbanding dengan nilai akhirat. Firman Allah SWT:
 
  يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَا لَكُمۡ إِذَا قِيلَ لَكُمُ ٱنفِرُواْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱثَّاقَلۡتُمۡ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ‌ۚ أَرَضِيتُم بِٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا مِنَ ٱلۡأَخِرَةِ‌ۚ فَمَا مَتَـٰعُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا فِى ٱلۡأَخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ (٣٨)
“Hai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya apabila dikatakan kepada kamu: “Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah, kamu berasa berat dan ingin tinggal di tempat kamu ? Apakah kamu berpuas hati dengan kehidupan dunia sebagai ganti kehidupan akhirat? Pada hal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan akhirat) hanyalah sedikit.”- Surah at-Taubah: ayat 38
 
3.  Mengetahui hakikat kematian dan mengambil pengajaran daripada kematian yang pasti berlaku kepada setiap manusia sebagaimana Firman Allah SWT:
كُلُّ نَفۡسٍ۬ ذَآٮِٕقَةُ ٱلۡمَوۡتِ‌ۗ
“Tiap-tiap yang berjiwa akan menemui mati.”- Surah Ali ‘Imran: ayat 185
4.  Mengetahui benar-benar akan hakikat Din al-Islam dengan cara mempelajari dan mendalami dasar-dasar dan hukum-hakamnya.
 
5.   Mengetahui hakikat jahiliyyah, iaitu dengan meneliti ciri-ciri pemikiran, aliran dan perancangannya. Di samping itu, mendedahkan akibat serta keburukan Jahiliyah. Dengan memahami Jahiliyyah barulah orang-orang beriman tidak terperangkap ke dalam jaring-jaringnya. Ini selaras dengan sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: “Sesiapa yang mempelajari bahasa sesuatu kaum, ia terselamat dari tipu daya mereka.”  

Neraca Dalam Kehidupan
 
Dalam pegangan hidup manusia, hendaklah diambil neraca dan nilai syara’, dan tidak seharusnya diambil nilai-nilai lain. Kabaikan dan keburukan hendaklah diperhatikan menurut pandangan syara’ berdasarkan kaedah: “Yang baik ialah  apa yang dipandang baik oleh syara' dan yang buruk ialah apa yang dipandang buruk oleh syara’.”
 
Terdapat banyak perintah Allah yang memerintahkan kita agar mengambil nilai syara’ dan melarang daripada mengambil nilai yang lain daripada syara’. Antaranya Firman Allah SWT :

ثُمَّ جَعَلۡنَـٰكَ عَلَىٰ شَرِيعَةٍ۬ مِّنَ ٱلۡأَمۡرِ فَٱتَّبِعۡهَا وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَ ٱلَّذِينَ لَا يَعۡلَمُونَ (١٨)
“Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas satu syariat (peraturan) daripada urusan (agama) itu, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui.” - Surah al-Jaatsiyah: ayat 18

ٱتَّبِعُواْ مَآ أُنزِلَ إِلَيۡكُم مِّن رَّبِّكُمۡ وَلَا تَتَّبِعُواْ مِن دُونِهِۦۤ أَوۡلِيَآءَ‌ۗ قَلِيلاً۬ مَّا تَذَكَّرُونَ (٣)
Ikutilah apa yang telah diturunkan kepada kamu daripada Tuhanmu dan janganlah kamu mengikuti pemimpin-pemimpin selainNya. Amat sedikitlah kamu mengambil pengajaran (daripadaNya). - Surah al-A’raf: ayat 3
 
أَلَمۡ تَرَ إِلَى ٱلَّذِينَ يَزۡعُمُونَ أَنَّهُمۡ ءَامَنُواْ بِمَآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ وَمَآ أُنزِلَ مِن قَبۡلِكَ يُرِيدُونَ أَن يَتَحَاكَمُوٓاْ إِلَى ٱلطَّـٰغُوتِ وَقَدۡ أُمِرُوٓاْ أَن يَكۡفُرُواْ بِهِۦ وَيُرِيدُ ٱلشَّيۡطَـٰنُ أَن يُضِلَّهُمۡ ضَلَـٰلاَۢ بَعِيدً۬ا
“Apakah kamu tidak memerhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang telah diturunkan kepada kamu dan apa yang diturunkan sebelum kamu? Mereka hendak berhakim kepada Taghut, pada hal mereka telah diperintahkan agar mengingkari taghut itu. Dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka sejauh-jauhnya.”- Surah an-Nisa’: ayat 60
 
Terdapat keterangan yang memberi peringatan bahawa memilih dan berpaut kepada yang lain daripada nilai Islam adalah merupakan kesesatan dan menyimpang daripada jalan Allah SWT. Firman Allah SWT:
 
وَإِن تُطِعۡ أَڪۡثَرَ مَن فِى ٱلۡأَرۡضِ يُضِلُّوكَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ‌ۚ إِن يَتَّبِعُونَ إِلَّا ٱلظَّنَّ وَإِنۡ هُمۡ إِلَّا يَخۡرُصُونَ 
“Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang  di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikut sangkaan-sangkaan belaka dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah SWT).”- Surah al-An’am: ayat 116

 وَمَا كَانَ لِمُؤۡمِنٍ۬ وَلَا مُؤۡمِنَةٍ إِذَا قَضَى ٱللَّهُ وَرَسُولُهُ ۥۤ أَمۡرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ ٱلۡخِيَرَةُ مِنۡ أَمۡرِهِمۡۗ وَمَن يَعۡصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُ ۥ فَقَدۡ ضَلَّ ضَلَـٰلاً۬ مُّبِينً۬ا
“Dan adalah tidak patut bagi lelaki mu’min dan tidak pula patut bagi perempuan mu’min, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkansesuatu ketetapan akan ada pada mereka suatu pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Sesungguhnya sesiapa yang menderhakai Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan  kesesatan yang nyata.” - Surah al-Ahzab: ayat 36
 
Nilai Yang Tetap
 
Nilai Islam adalah nilai yang tetap dan tidak berubah-ubah meskipun zaman beredar dan berubah. Dalam hal ini al-’Allamah Abu al’Ala al-Maududi telah menyatakan dalam risalahnya, Ila AyySyai’ Yad’u al-Islam, bahawa Allah SWT tidak semata-mata menurunkan undang-undang tertingi (Supreme Law) melalui Rasul bahkan diturunkan bersama-samanya nilai yang tetap (Thabitah = Permanent Values). Sesuatu yang telah ditetapkan baik di dalam al-Quran dan sunnah Rasul itu adalah baik selama-lamanya. Demikian juga sebaliknya, sesuatu yang ditetapkan buruk itu maka ia tetap buruk selama-lamanya. Begitu juga yang halal tetap halal dan yang haram tetap haram. Ketetapan tersebut tidak boleh dipinda, ditambah, dikurangkan atau dihapuskan. Hanya yang berani membuat pindaan dan pembatalan itu ialah  golongan atau jamaah yang melepaskan dan membebaskan diri daripada Islam.
 
Hal yang sama juga telah dihuraikan dengan panjang lebar oleh Asy-Syahid Sayyid Qutb dalam kitabnya yang sangat bernilai, Khasais at-Tasawwur al-Islami Wa Muqawamatuha, dalam satu tajuk, Ath-Thabat (Nilai Yang Tetap). Perlu diperingatkan sekiranya ketetapan Allah SWT itu tidak dipatuhi maka akan berlakulah kerosakan demi kerosakan di alam ini.
 
Firman Allah SWT:
 
وَلَوِ ٱتَّبَعَ ٱلۡحَقُّ أَهۡوَآءَهُمۡ لَفَسَدَتِ ٱلسَّمَـٰوَٲتُ وَٱلۡأَرۡضُ وَمَن فِيهِنَّ‌ۚ بَلۡ أَتَيۡنَـٰهُم بِذِڪۡرِهِمۡ فَهُمۡ عَن ذِكۡرِهِم مُّعۡرِضُونَ
“Andaikata kebenaran itu menurut hawa nafsu mereka, pasti binasalah langit dan bumi dan semua yang terdapat di dalamnya. Sebenarnya Kami telah mendatangkan kepada mereka kebanggaan (al-Quran) mereka tetapi mereka berpaling daripada kebanggaan tersebut.” - Surah al-Mu’minun: ayat 71
 
Nilaian Allah
 
Islam telah ditetapkan oleh Allah SWT sebagai suatu sistem hidup yang sempurna. Telah ditentukan bahawa penilaian yang tinggi dan keuntungan hanya diberikan kepada mereka yang beriman serta menghayati Islam dalam kehidupan mereka. Hal ini telah ditegaskan oleh Allah SWT di dalam FirmanNya:
 
وَٱلۡعَصۡرِ (١) إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ لَفِى خُسۡرٍ (٢) إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ
“Demi masa. Sesunguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal saleh.”- Surah al-’Asr: ayat 1-3
 
Asy-Syahid Sayyid Qutb ketika menghuraikan ayat ini telah menjelaskan bahawa Iman merupakan dasar hidup yang amat penting bagi membuahkan hasil yang baik dan bernilai dalam seluruh cabang hidup. Mana-mana amalan yang tidak lahir daripada keimanan, maka ia tidak bernilai di sisi Allah SWT. Allah SWT telah membuat perbandingan di dalam FirmanNya:
 
مَّثَلُ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ بِرَبِّهِمۡ‌ۖ أَعۡمَـٰلُهُمۡ كَرَمَادٍ ٱشۡتَدَّتۡ بِهِ ٱلرِّيحُ فِى يَوۡمٍ عَاصِفٍ۬‌ۖ لَّا يَقۡدِرُونَ مِمَّا ڪَسَبُواْ عَلَىٰ شَىۡءٍ۬‌ۚ ذَٲلِكَ هُوَ ٱلضَّلَـٰلُ ٱلۡبَعِيدُ
“Orang-orang yang kafir kepada Tuhannya, amalan-amalan mereka seperti debu yang ditiup angin dengan keras pada suatu hari yang berangin kencang. Mereka tidak dapat mengambil sebarang manfaat dari apa yang mereka kerjakan (di dunia). Yang demikian itu adalah kesesatan yang jauh.” - Surah Ibrahim: ayat 18
 
وَٱلَّذِينَ ڪَفَرُوٓاْ أَعۡمَـٰلُهُمۡ كَسَرَابِۭ بِقِيعَةٍ۬ يَحۡسَبُهُ ٱلظَّمۡـَٔانُ مَآءً حَتَّىٰٓ إِذَا جَآءَهُ ۥ لَمۡ يَجِدۡهُ شَيۡـًٔ۬ا
“Dan orang-orang yang kafir, amalan-amalan mereka adalah seumpama fatamorgana di tanah yang datar, yang disangka air oleh yang dahaga, tetapi bila didatanginya air itu, dia tidak mendapatinya sesuatu apapun.” - Surah an-Nur: ayat 39

Amalan saleh itu adalah buah Iman. Iman itu hidup dan bergerak melahirkan amalan yang soleh. Inilah Iman dan Islam. Iman itu bergerak, bekerja dan membangun menuju kepada matlamat Ilahi. Ia tidak semata-mata tersimpan beku di lubuk hati. Ia juga bukan semata-mata angan-angan atau sekadar niat baik sahaja tanpa diamalkan.

Pembentukan Jama’ah
 
Untuk menyempurnakan tanggungjawab menurut sistem Islam, maka perlulah kepada pembentukan Jama’ah Ummah Islamiyyah. Yakni, jamaah yang ada kesedaran untuk bangun menghayati dan menegakkan Islam. Jamaah dimana anggotanya pimpin-memimpin, bimbing-membimbing antara satu sama lain dalam suasana ukhuwwah dan kasih sayang sejati kerana Allah SWT.

Hendaklah kita sedari bahawa memperkatakan yang hak itu adalah suatu yang wajib, namun terpaksa menghadapi berbagai-bagai kesukaran serta halangan. Din atau sistem Islam itu adalah hak (kebenaran) yang wajib dibangunkan, tetapi ia tidak dapat tertegak melainkan di dalam kawalan jamaah yang sudah terbentuk.

Sabar
 
Perlu juga diinsafi bahawa kerja-kerja menegakkan Islam, iman, amal saleh dan mengawal yang hak itu adalah kerja yang amat sukar bagi individu mahupun jamaah. Maka ia memerlukan  kepada satu senjata, iaitu kesabaran. Yakni sabar dalam jihad sama ada jihad hawa nafsu atau lain-lain, sabar menangung penderitaan dan kesukaran, sabar menghadapi kemungkaran dan kemaksiatan yang berleluasa, sabar melalui masa yang panjang dan peningkatan yang lambat dan sabar untuk menuju matlamat yang jauh di dalam perjuangan hidup ini. Hal ini memerlukan kepada jamaah yang mana anggota-anggotanya hidup dalam ukhuwwah dan bimbing-membimbing dengan kesabaran. Dalam suasana ini, barulah sistem Islam boleh hidup subur dan menghasilkan buah-buah (natijah) yang baik lagi bernilai.
 
Model
 
Model jamaah yang tinggi dan agung telah lahir di Zaman Rasulullah SAW dan para sahabat. Adalah perlu sekali kita mengambil contoh teladan mereka dalam usaha kita membentuk jamaah kini. Generasi pertama tersebut telah memiliki sifat-sifat dan ciri-ciri penting hingga melayakkan mereka menjadi ummat terbaik.
 
Berikut disenaraikan beberapa ciri yang terpenting seperti yang dijelaskan oleh Al-’Allamah Abu al-Hasan Ali al-Husni an-Nadawi dalam kitabnya, Maza Khasira al-’Alam Bi Inhitat al-Muslimin. Rumusan beliau ialah:
 
1.    Mereka berpegang teguh kepada Syariat Ilahi. Mereka sesekali tidak mencipta undang-undang menurut hawa nafsu mereka.
 
2.    Mereka telah melalui proses Tarbiyyah (didikan) dan Tazkiyyah (pembersihan) jiwa dalam jangka masa yang lama di bawah pimpinan Rasulullah SAW hingga lahir sifat-sifat terpuji. Jawatan dan tugas disifatkan sebagai amanah dan ujian daripada Allah SWT, bukan kemegahan atau kebanggaan.
 
3.    Perkhidmatan mereka lillahi ta'ala (kerana Allah SWT), tidak kerana yang lain. Mereka bekerja untuk mengeluarkan manusia daripada perhambaan sesama makhluk kepada perhambaan hanya kepada Allah SWT semata-mata. Mereka faham bahawa kemuliaan itu hanya bagi orang-orang yang bertaqwa.
 
4.    Mereka membina tamaddun yang saleh meliputi kemajuan rohani,  jasmani dan aqli. Semua bidang hidup dikuasai oleh nilai dan akhlak Islam, meliputi bidang pentadbiran, ekonomi, sosial dan politik. Sehubungan dengan itu juga, Prof. Muhammad Qutb, pernah menjelaskan bahawa dasar hidup mereka dibina di atas wahyu Allah SWT. Firman Allah SWT:
 
يَعۡبُدُونَنِى لَا يُشۡرِكُونَ بِى شَيۡـًٔ۬ا‌ۚ
“Mereka mengabdikan diri kepadaKu dan tidak mensyirikkan Aku dengan sesuatu apa pun.”
- Surah an-Nur: ayat 55
 
Erti memperhambakan diri kepada Allah SWT itu, menurut tafsirannya, ialah tetap berjalan di atas sistem dan peraturan Allah SWT. Inilah manhaj yang diguna pakai oleh mereka dalam semua bidang kehidupan. Demikianlah gambaran umum mengenai Jama’ah Islam yang hidup menjunjung perintah-perintah Allah SWT yang disifatkan oleh Allah SWT sebagai umat terbaik dan menjadi model untuk seluruh manusia.

No comments:

Post a Comment